Ahad, 14 November 2010

Numismatics - Mengred Siling dan Wang Kertas

Keadaan rupa bentuk sesuatu siling atau wang kertas memainkan peranan dalam menentukan nilai barangan tersebut. Lagi cantik keadaannya, maka lagi mahal ia dinilai. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah keluaran pada tahun yang tertentu atau yang sukar didapati, gred yang agak rendah boleh diterima pakai.

Berikut adalah istilah yang telah diguna pakai dalam menentukan keadaan siling atau wang kertas yang tertera didalam 'Standard Catalogue of Malaysia Singapore Brunei Coin & Paper Money' edisi 19 (2010 - 2012), oleh Steven Tan, keluaran International Stamp & Coin Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

Keadaan Siling

PROOF - Dikeluarkan dalam jumlah yang terhad dengan kualiti yang lebih tinggi dari cetakan biasa. Keadaan ini boleh dilihat dari ciri-ciri seperti ketajaman pada bahagian yang timbul dan permukaan yang berkilat.

B.U. - Brilliant Uncirculated adalah hasil dari pengeluaran yang bermutu tinggi untuk digunakan umum dan tiada terdapat kesan ianya digunakan.

UNC. - Uncirculated pula adalah seperti B.U. tetapi terdapat kesan semasa ia dipindah dari kilang.

E.F. - Extremely Fine adalah siling yang terdapat sedikit tanda hakisan pada bahagian yang timbul, seperti hujung rambut dan bahagian tengah logo.

V.F. - Very Fine adalah siling yang menunjukkan hakisan pada bahagian seperti perkataan dan bahagian yang timbul dimana kelihatan dengan jelas.

F. - Fine adalah siling yang terhakis dengan agak banyak, terutama pada bahagian hujung rambut dan bahagian logo. Mungkin terdapat kesan calar terutama pada bahagian bucu.

V.G. - Very Good tetapi siling mempunyai kesan calar dan lekukan dan menunjukkan keadaan hakisan yang ketara dibahagian yang timbul.

Keadaan Wang Kertas

UNC. - Uncirculated atau dalam keadaan mint. Tiada kesan langsung yang ianya pernah digunakan. 100% baru.

E.F. - Extremely Fine seperti UNC tetapi mempunyai kesan lipatan yang ringan atau pernah digunakan. 85% baru.

V.F. - Very Fine menunjukkan ianya telah digunakan dengan kesan lipatan, sedikit terperonyok atau sedikit kotor. Bahagian tepi sempurna. 65% baru.

F. - Fine adalah wang kertas yang telah digunakan dan agak lusuh. Ianya tidak licin dengan kesan lipatan, terperonyok dan kotor atau mungkin terkoyak sedikit dibahagian tepinya. 50% baru.

V.G. - Very Good adalah keadaan wang kertas yang rosak dan kotor. Ianya sudah lusuh dengan koyakan pada bahagian tepi tetapi masih kelihatan rupabentuknya. 35% baru.

Dengan mengetahui pengredan atau pengkelasan yang dibuat, bagi peminat numismatic dapatlah menilai sesuatu barangan dengan lebih terperinci serta meletakkan harga yang sesuai untuk tawaran penjualan dan tawar-menawar pembelian dengan harga yang berpatutan.

Tiada ulasan: